Thursday, August 28, 2008

BERITA PEYAKIN NS 10

DIARI BULAN OGOS 2008 PEYAKIN NS

PEYAKIN NS telah mengadakan lawatan dan siasatan ke rumah Puan Marzita bt Mazni seorang ibu tunggal di Pekan Kota, Negeri Sembilan bagi menyampaikan 2 pasang pakaian sekolah dan kasut sekolah untuk anak beliau yang bersekolah di SMK Dato' Adnan, Kota. Ibu tunggal tersebut tidak bekerja semenjak kematian arwah suaminya lebih kurang 5 bulan yang lalu.

Alhamdulillah beliau ada menerima bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disamping menerima bantuan daripada Baitulmal setiap 3 bulan sekali. Disamping itu juga, beliau mempunyai seorang anak lelaki berumur lebih kurang 8 tahun yang menghidapi "down sindrom" dan anak ini juga diberi bantuan kanak-kanak cacat sebanyak RM150 setiap 6 bulan sekali.

Ibu tunggal tersebut berasa amat tertekan kerana bulan Puasa dan Hari Raya menjelang tiba tidak berapa lama lagi sedangkan selama ini mereka menyambutnya bersama dengan arwah dan sudah tentulah ketiadaan arwah kali ini amat terasa. Walaupun semasa arwah suami beliau masih hidup dahulu tetapi keluarga mereka menyambut Puasa dan Hari Raya secara ala kadar sahaja kerana mereka tidak berkemampuan dan kini serta selamanya keluarga ini akan menempuh hidup dengan lebih mencabar lagi kerana ketiadaan wang. Sambil menahan sebak didada beliau mengatakan beliau tidak dapat bayangkan betapa sedihnya nanti tatkala tadbir raya bergema. PEYAKIN NS akan berusaha untuk membantu sedaya yang mungkin supaya sekurang-kurangnya keluarga ini dapat menyambut Puasa dan Hari Raya kali ini.

Wednesday, August 27, 2008

BERITA PEYAKIN NS 9

DIARI BULAN OGOS 2008 PEYAKIN NS

Ibu tunggal Puan Maziya bt Abd Magaid menetap di Kg Seberang Batu Hampar, Rembau yang mana anak-anaknya seramai 3 orang berdaftar dengan PEYAKIN NS adalah dikalangan ibu tunggal yang bernasib baik kerana beliau telah menerima berbagai bantuan daripada kerajaan. Walaubagaimanapun PEYAKIN NS akan cuba juga berusaha untuk memberi sebanyak sedikit bantuan sekadar yang termampu, lebih-lebih lagi di atas dasar anak yatim.

Disamping mempunyai anak seramai 10 orang seorang daripadanya mengalami sakit tekanan jiwa dan seorang lagi mengalami "down sindrom" serta beliau juga mempunyai seorang cucu perempuan yang baru lahir. Alhamdulillah keluarga ini telah pun mendapat rumah PPRT dan difahamkan ibu tunggal tersebut telah pun bekerja sebagai tukang sapu.

PEYAKIN NS telah menyampaikan sumbangan berupa pakaian dan kasut sekolah sebanyak 2 pasang setiap seorang untuk anak-anak Puan Rosnani bt Saad yang seramai 7 orang yang bersekolah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Dua diantara anak beliau yang kesemuanya seramai 14 orang itu tidak bersekolah iaitu seorang anak lelaki yang sepatutnya berada di Tingkatan 3 dan seorang lagi anak perempuan yang sepatutnya pula berada di Tingkatan 4 tahun ini akibat daripada kemiskinan yang dihadapi.

Puan Rosnani adalah seorang ibu miskin yang mengalami strok dan kini mata beliau tidak begitu jelas penglihatan akibat daripada penyakit darah tinggi. Beliau sekeluarga menyewa rumah di Kg Ampang Batu 3, Chembong sebanyak RM 150 sebulan dan suami yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Seorang daripada anak lelaki beliau sekarang terlantar di hospital kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya dan akibat daripada itu anak tersebut mengalami patah tulang kaki kiri di bahagian peha dan betis, difahamkan anak ini akan mengalami kecacatan kekal.

PEYAKIN NS akan berusaha untuk mendaftarkan kedua-dua anak di atas bersekolah sekiranya dipersetujui oleh ibu bapa tersebut nanti dan PEYAKIN NS juga akan cuba membantu untuk mendapatkan pekerjaan tetap untuk bapa anak-anak tersebut supaya dapat menyara keluarga lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini dan sekurang-kurangnya setelah bapa tersebut bekerja maka dapatlah juga salah seorang daripada anak beliau yang sedang bekerja di sebuah kilang berdekatan dengan rumahnya berpeluang melanjutkan pelajarannya nanti.

Saturday, August 23, 2008

BERITA PEYAKIN NS 8

DIARI BULAN OGOS 2008 PEYAKIN NS

Perjumpaan PEYAKIN NS dengan ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu miskin di Balai Raya Solok Jelawai, Seberang Batu Hampar, Rembau pada 14 Ogos, 2008 (Khamis) adalah bagi memberi taklimat tentang peluang-peluang pinjaman koperasi sempena cadangan untuk mewujudkan sebuah koperasi PEYAKIN NS dan diantara aktiviti yang telah dikenalpasti ialah mengadakan sebuah bengkel jahitan dan sebuah bengkel membuat roti dan kek. Disamping itu juga, untuk mewujudkan sebuah pasar mini.

YBhg Dato' Hj Mat Ali b Hassan selaku Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan kerja ke premis Asrama Putera & Puteri Harapan PEYAKIN NS pada 14 Ogos, 2008 (Khamis) bagi mengenalpasti keperluan ubahsuai yang perlu dibuat melalui peruntukan yang akan disediakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan.

PEYAKIN NS mengadakan perjumpaan dengan YB Tuan Zaifulbahri b Idris selaku Wakil Rakyat Kawasan Chembong pada 15 Ogos, 2008 (Jumaat) bagi mengajukan beberapa permohonan daripada ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu miskin yang mana anak-anak mereka berdaftar dengan PEYAKIN NS dan disamping itu juga, PEYAKIN NS memohon jasa baik Wakil Rakyat tersebut membantu PEYAKIN NS untuk mendapatkan status sebenar tanah dan bekas premis ABIM Daerah Rembau daripada Pejabat Tanah Daerah Rembau ataupun Majlis Daerah Rembau supaya maklumat tersebut dapat diserahkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan bagi tujuan mengubahsuai rumah anak yatim & miskin PEYAKIN NS yang dikenali sebagai Asrama Putera & Puteri Harapan PEYAKIN NS.

Setiausaha Kehormat PEYAKIN NS Cik Shafiza bt Ramli telah menyampaikan barang makanan seperti Beras, Gula, Tepung dan sebagainya kepada Puan Nor Ridah bt Setot di Seberang Batu Hampar, Rembau pada 15 Ogos, 2008 (Jumaat). Semoga bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan masalah kewangan yang dihadapi beliau sekeluarga buat sementara waktu dan PEYAKIN NS akan berusaha untuk mendapatkan bantuan-bantuan lain dari semasa ke semasa.

PEYAKIN NS telah menghadiri Majlis Perkahwinan anak Presiden PEYATIM Malaysia pada 16 Ogos, 2008 (Sabtu) di Batu 17, Kg Damai, Kuang, Selangor dan diantara pegawai-pegawai yang hadir bersama-sama anak-anak yatim PEYAKIN NS ialah Yang Dipertua, Setiausaha Kehormat dan 6 orang Sukarelawan PEYAKIN NS. (Gambar dari kiri ke kanan : En Omar b Hj Abu Bakar-YDP PEYAKIN NS, YM Dato' Dr Tengku Mahmud Mansor-Presiden PEYATIM Malaysia, YBhg Dato' Ismail b Mohd Yassin dan isteri serta YBhg To' Puan Hjh Zainon bt Jamil-isteri kepada Presiden PEYATIM Malaysia).

PEYAKIN NS telah mengadakan perbincangan awal dengan pegawai-pegawai Masjid Negeri, Seremban pada 18 Ogos, 2008 bagi menganjurkan cadangan Majlis Amal & Berbuka Puasa untuk anak-anak yatim & miskin PEYAKIN NS pada 21 Ramadhan, 1429H nanti. Perbincangan tersebut dihadiri oleh YBhg Dato' Hj Sudin b Kamari-Pengasas PEYAKIN NS, En Omar b Hj Abu Bakar-YDP PEYAKIN NS dan Cik Shafiza bt Ramli-Setiausaha Kehormat PEYAKIN NS dan bagi Masjid Negeri, Seremban pula diwakili oleh Ustaz Ahmad Zamri dan Ustaz Hj Zahed.

BERITA PEYAKIN NS 7

DIARI BULAN OGOS 2008 PEYAKIN NS

Taklimat Kursus Program Keusahawanan dan Kemahiran secara percuma untuk ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu miskin yang mana anak-anak mereka berdaftar dengan PEYAKIN NS anjuran bersama PEYAKIN NS dan Kolej Antarabangsa DMDI dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan dikelolakan oleh Jay Jay Cahaya Enterprise. Taklimat telah diadakan di Balai Raya Solok Jelawai, Seberang Batu Hampar, Rembau pada 02 Ogos, 2008 (Sabtu) dan dihadiri seramai 47 orang.

Latihan Kawat Lintas Hormat di Kompleks Sukan Paroi sempena SUKYA Kali Ke-VI/2008 Peringkat Kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah Darul Aman. Seramai 35 orang anak-anak, Pegawai dan Sukarelawan PEYAKIN NS telah menyertainya. Latihan diadakan pada 03 Ogos, 2008 (Ahad) bermula dari jam 8.00 pagi - 5.30 petang. YBhg Mej Jen (B) Dato' Oseman b Chik dan Isteri To' Puan Zainab serta anak beliau turut hadir.

Sesi latihan berpusat Kontinjen Negeri Sembilan acara Badminton telah diadakan di Dewan Merdeka, Rembau pada 09 Ogos, 2008 (Sabtu) bagi persediaan ke SUKYA Kali Ke-VI/2008 Peringkat Kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah Darul Aman. Sesi latihan ini dikelolakan oleh Jemaah Pengurus Kebajikan Anak-Anak Yatim & Miskin Ulu Gadong, Kota (JPKAY Ulu Gadong). Anak-anak PEYAKIN NS akan mewakili Negeri Sembilan di dalam acara Perseorangan Lelaki, Perseorangan Perempuan dan Bergu Perempuan.

Sesi Taklimat Akhir SUKYA Kali Ke-VI/2008 Peringkat Kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah Darul Aman untuk Kontinjen Negeri Sembilan telah diadakan di Jemaah Pengurus Kebajikan Anak-Anak Yatim & Miskin Ulu Gadong, Kota (JPKAY Ulu Gadong) pada 09 Ogos, 2008 (Sabtu) dan YDP PEYAKIN NS En Omar b Hj Abu Bakar merangkap Ketua Kontinjen Negeri Sembilan telah menyampaikan pesanan kepada semua peserta yang terlibat.

YDP PEYAKIN NS mengadakan taklimat terakhir pengambilan peserta-peserta Kursus Program Keusahawanan & Kemahiran secara percuma untuk ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu miskin yang mana anak-anak mereka berdaftar dengan PEYAKIN NS. Taklimat tersebut telah diadakan di rumah Pn Nor Ridah bt Setot, Seberang Batu Hampar pada 11 Ogos, 2008 (Isnin). Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah kerana sudi menerima kedatangan peserta-peserta dan para sukarelawan yang terlibat.

PEYAKIN NS mengagih-agihkan sumbangan ikan dari Pengusaha Pasar Rembau kepada ibu-ibu anak-anak yatim & miskin di sekitar Rembau pada 12 Ogos, 2008 (Selasa). (YDP PEYAKIN NS sedang mengagihkan ikan-ikan tersebut kepada Puan Noorehan bt Kasim di rumah beliau di Senama Hilir, Rembau dan sebahagian daripada ikan-ikan tersebut diberikan pula kepada Puan Jamilah bt Lan)

BERITA PEYAKIN NS 6

JASAMU DIHARGAI

Di atas jasa baik dan keberanian Skuad Unit Rembau Sinar Harian iaitu Cik Noor Azura bt Sahril membantu PEYAKIN NS menyiarkan beberapa isu bagi menangani berbagai masalah dan rintangan anak-anak yatim dan anak-anak miskin serta ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu miskin yang mana anak-anak mereka berdaftar dengan PEYAKIN NS ke dalam akhbar Sinar Harian oleh itu dengan keprihatinan dan rasa tanggungjawab beliau kepada masyarakat maka PEYAKIN NS dengan rendah diri menyampaikan Sijil Penghargaan dan Terima Kasih kepada beliau semoga beliau akan terus menjalankan kerja-kerja murni ini ke arah membela nasib anak-anak yatim dan anak-anak miskin serta ibu-ibu tunggal dan ibu-ibu miskin di Daerah Rembau ini dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

Ikhlas daripada Yang Dipertua, Ahli Jawatankuasa dan semua warga PEYAKIN NS.

BERITA PEYAKIN NS 5

MESYUARAT AGUNG PEYATIM KALI KE-18

En Omar b Hj Abu Bakar - YDP PEYAKIN NS merangkap Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM) dan para perwakilan PEYAKIN NS iaitu terdiri daripada YBhg Dato' Hj Sudin b Kamari (Pengasas PEYAKIN NS), Datin Hjh Noraini bt Mohd Khir (Isteri kepada Pengasas) serta Cik Shafiza bt Ramli (Setiausaha Kehormat PEYAKIN NS) bersama-sama dengan 5 orang pegawai PEYAKIN NS berkesempatan menghadiri Mesyuarat Agung PEYATIM Kali Ke-18 yang telah diadakan di Dewan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 19 Ogos, 2008. Mesyuarat Agung tersebut juga telah dihadiri oleh Ahli-Ahli Badan Gabungan yang lain dari seluruh Malaysia termasuk perwakilan dari Sabah dan Sarawak.

YM Dato' Dr Tengku Mahmud b Mansor selaku Presiden PEYATIM Malaysia mengalu-alukan kehadiran Para EXCO, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi dan Para Perwakilan, Dif-Dif Jemputan Khas dari Badan Gabungan Rumah-Rumah Anak Yatim Seluruh Indonesia dan wakil JKM selaku Pegawai Rasmi PEYATIM Malaysia dan seterusnya kepada Para Pemerhati yang sudi hadir ke Mesyuarat Agung kali ini sambil memperkenalkan Tn Hj Muhammad b Deraman selaku Setiausaha Agung dan Tn Hj Hasnan b Dato' Hj Abdullah selaku Bendahari Agung yang baru dilantik kepada Para Perwakilan semua.

Para Perwakilan PEYAKIN NS (dari kanan ke kiri Ybhg Dato' Hj Sudin b Kamari-Pengasas, Datin Hjh Noraini b Mohd Khir-Isteri kepada Dato' Pengasas dan Cik Shafiza bt Ramli-Setiausaha Kehormat) sedang mendengar dan memerhati gelagat Perwakilan yang menyampaikan cadangan serta pandangan masing-masing semasa sesi Ucapan Penangguhan dijalankan. Buat PEYAKIN NS ini adalah julung-julung kalinya PEYAKIN NS menghadiri Mesyuarat Agung PEYATIM Malaysia selaku Ahli Badan Gabungan yang ke-50.


Para Pegawai PEYAKIN NS yang berkesempatan hadir ke Mesyuarat Agung PEYATIM Malaysia Kali Ke-18 (duduk dari kanan ke kiri : En Mohd Ramdan b Jamaludin dan En Mohd Azrin b Ramli. berdiri dari kanan ke kiri : En Muhamad Muzaffar b Ramli dan Cik Siti Rashidah bt Norzilan, jurufoto : En Mukharis b Zakaria). Seandainya ini adalah satu pengalaman yang sungguh baik bagi mereka mengenali PEYATIM Malaysia dengan lebih dekat lagi serta dapat berkenal-kenalan dengan kakitangan PEYATIM Malaysia disamping berpeluang mengenali para perwakilan dari seluruh Malaysia.

BERITA PEYAKIN NS 4

CITRA KEHIDUPAN

Ibu miskin Puan Nafsiah bt Yusof bekerja di Kilang Ayam, Pedas yang telah berpisah dengan suaminya sejak beberapa tahun yang lalu kini tinggal bersama ibunya berumur lebih kurang 80 tahun (uzur) dan 5 orang anak, yang sulung bekerja sebagai pembantu kantin berumur 21 tahun dan telah berkahwin mempunyai seorang anak yang masih kecil menetap di Kuala Lumpur. Anak-anak yang lain masih bersekolah di Tahun 2-6 di Sekolah Kebangsaan Bongek, Rembau. Ibu tersebut terpaksa berulang-alik dari rumah di Kg Baru Chengkau Ulu, Kota berjalan kaki ke perhentian bas setiap hari ke tempat kerja dari jam 5.30 pagi dan hanya pulang diantara jam 6.00-6.30 petang. (itupun jika bas yang dinaiki tidak rosak ditengah jalan). Dan ini bererti beliau terpaksa meninggalkan seorang ibu / nenek yang telah uzur serta anak-anak beliau untuk ke sekolah di sebelah pagi.

Anak-anak tersebut terpaksa berdikari sendiri untuk persiapan ke sekolah dengan menaiki van yang dibayar sebanyak RM 200 sebulan. Semasa anak-anak berada di sekolah maka tinggallah nenek tersebut seorang diri di rumah.

Pada awal tahun 2008, anak-anak tersebut telahpun didaftarkan dengan PEYAKIN NS dan Alhamdulillah PEYAKIN NS telah dapat membantu sebanyak sedikit bagi meringankan beban ibu anak-anak tersebut lebih-lebih lagi di musim buka sekolah awal tahun. Diantara bantuan yang diberikan ialah pakaian sekolah, bantuan keperluan makanan dan sedikit kewangan untuk membayar yuran sekolah. Disamping itu juga, PEYAKIN NS telah berjaya mendapatkan pihak TNB, Rembau memasang lampu jalan menghala ke rumah mereka kerana memandangkan keadaan dan lokasi rumah yang terakhir di kawasan kampung tersebut, lebih-lebih lagi sewaktu ibu ini hendak keluar bekerja keadaannya sangat gelap.


Lawatan YDP PEYAKIN NS baru-baru ini bagi menyampaikan sedikit sumbangan barang makanan mendapati hanya nenek yang telah uzur sahaja yang berada di rumah, sedangkan melihat pada keadaan kesihatan nenek tersebut beliau tidak sepatutnya ditinggalkan keseorangan tetapi kerana ibu dan anak-anak terpaksa bekerja dan ke sekolah maka ianya terpaksa dilakukan dengan harapan agar tidak ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dan didapati juga keadaan dapur rumah tersebut memerlukan tindakan segera untuk dibaiki. Keadaan ini sudah tentu menyentuh perasaan setiap orang sekiranya melihat sendiri kehidupan keluarga ini.